Tuesday, May 29, 2012

Cinta Jarak Jauh (CJJ)



Setia walaupun jauh

Memang pelbagai dugaan yang akan dihadapi apabila berjauhan. Ketika berjauhan, anda akan terasa sunyi kerana orang yang selalu kita jumpa, tiba-tiba kini jauh dari mata. Apabila berjauhan, hati menjadi sunyi dan pelbagai perasaan timbul di hati. Ketika inilah kawan menjadi penyeri. Namun begitu, walaupun anda masih mempunyai kawan, kawan hanyalah kawan. Ceria bersama kawan tidak sama dengan ceria apabila bersama dengan orang yang anda sayang. Di sini, ada yang kecundang.


Buat kejutan untuk si dia

Berikan kejutan demi kejutan kepada pasangan untuk mengubati kerinduan. Antaranya, kirimkan sejambak mawar merah berserta coklat. Ataupun berikannya lawatan mengejut agar si dia lebih menghargai dirimu kerana pengorbanan yang sanggup dilakukan. Pastinya rindu yang mengulit jiwa terubat pabila diri diberikan kejutan yang menyeronokkan.


Sambut hari ulang tahun bersama

Sekiranya tidak sibuk, cuba sambut ulang tahun bersama-sama. Sekiranya sambutan hari ulang tahun itu jatuh pada hari bekerja, sambutlah bersama-sama pada hujung minggu selepas itu. Luangkan masa bersama untuk seketika, sudah pasti dapat menggembirakan antara satu sama lain. Walaupun perjumpaan itu hanya sementara, kenangan ketika berjumpa bersama-sama sambil menyambut hari ulang tahun sudah pasti akan terpahat kukuh di hati. Mungkin anda akan tersenyum sendirian apabila mengenangkan kembali kenangan manis sebegitu.


Luahkan Perasaan

Kalau dekat-dekat terasa malu untuk meluahkan apa yang terpendam, inilah masanya untuk intim dengan pasanganmu. Walaupun berada jauh antara satu sama lain, kata-kata indah yang diluahkan boleh menjadi
penawar rindu anda kepada si dia. Sesekali guna balik pos biasa dengan menghantar surat cara lama kepada pasangan anda berbanding dengan emel. Luahkan apa yang terpendam dan kongsikan perasaanmu bersama si dia kerana kata-kata mampu memanah jiwa, memupuk asmara.


Tanam sifat percaya pada pasangan masing-masing

Bukan mudah untuk kita berjauhan dengan orang tersayang. Pabila teringat, pasti timbul bibit curiga mula mengulit perasaan. Setiakah dia di sana? Sebenarnya, kepercayaan adalah satu perkara penting untuk hubungan ini. Bina sifat percaya antara kedua-dua belah pihak kerana ia penting untuk mengelakkan diri daripada sentiasa berfikiran negatif antara satu sama lain.


Berjumpalah walaupun seketika

Jangan jadikan jauh itu sebagai alasan. Cinta perlukan komitmen. Cinta juga adalah tanggungjawab. Walaupun jauh, cuba cari masa untuk berjumpa dengan si dia. Paling tidak pun apabila ada cuti panjang menjelang. Janganlah tidak berjumpa langsung. Sudah pasti rindu di hati akan semakin memberontak apabila berjauhan. Jadi, apabila ada kelapangan itu, rancanglah untuk berjumpa. Sudah pasti ini akan mengeratkan lagi hubungan dan dapat mengurangkan rasa rindu.


Sentiasa berhubung.

Setiap malam sebelum tidur kalau boleh cuba hubungi si dia untuk bertanyakan khabar. Buat secara selang seli. Hari ini anda yang hubungi dia dan esok giliran dia pula. Dengan cara ini, baru sama-sama berasa susah dan senang. Jangan mengharapkan si dia saja yang akan menelefon. Sudah pasti dia akan berasa sukar untuk menghubungi anda jika dia saja yang perlu hubungi. Memang cinta perlukan komitmen tetapi ia akan menjadi sukar apabila sebelah pihak saja yang memberikan komitmen. Untuk itu, sama-samalah membantu dalam membina percintaan ini.


Tolak Isu Remeh-Temeh

Sudahlah tinggal berjauhan, bergaduh pula. Situasi ini boleh menjadi parah jika tindakan tidak diambil. Memandangkan anda sukar untuk bersua, elakkan daripada bertekak tentang perkara yang remeh-temeh. Kebanyakannya akan naik angin jika pasangan tidak menelefon pada waktu yang dijanjikan. Usah ikutkan hati kerana mungkin si dia sedang sibuk dan perlu menyelesaikan beberapa perkara terlebih dulu. Anda seharusnya bertenang dan tanya dengan nada yang lembut.


Jangan jadikan jarak sebagai pemusnah

Cinta jarak jauh memang sukar. Memang meronta-ronta hati bila mana rindu itu datang. Apabila keseorangan, sudah pasti kita akan terasa sangat kerinduan itu. Tetapi ingatlah, jangan jadikan jarak yang jauh itu sebagai pemusnah cinta. Jadikan ia sebagai satu cabaran yang akan memberikan anda lebih bersemangat untuk meneruskan cinta itu.

Apapun rintangan yang ada, jangan jadikan ia sebagai alasan dan penghalang. Tetapi jadikan ia sebagai sesuatu yang dapat menambahkan kasih sayang kita kepada si dia. Apabila jauh, anda akan merasa rindu bukan? Jadi jauh itu bukan satu perkara yang tidak baik, cuma ia salah satu cara untuk memupuk rasa kasih sayang dan mengajar untuk menjadi seorang kekasih yang setia.



 ♥ Distance Never Separates Two Hearts That Really Care ♥


...Hanya sekadar mengisi masa lapang untuk berkongsi cerita ...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...